Friday 24 August 2012

Inilah Makna Bahagia…





Bahagia itu fitrah tabie manusia. Semua orang ingin bahagia. Jika ada manusia yang berkata, alangkah bahagianya kalau aku tidak bahagia, dia layak dihantar ke Hospital Bahagia. Kenapa? Sudah tentu orang itu tidak siuman lagi. Manusia yang siuman sentiasa ingin dan mencari bahagia. Bahkan, apa sahaja yang diusahakan dan dilakukan oleh manusia adalah untuk mencapai bahagia.


• Bahagia itu relatif?
Malangnya, keinginan manusia untuk bahagia sering tidak kesampaian. Ini disebabkan ramai manusia tidak tahu apa makna bahagia sebenarnya dan mereka juga tidak tahu bagaimanakah caranya untuk mendapatkannya. Jika kita mencari sesuatu yang tidak diketahui dan dikenali, sudah pasti kita tidak akan menemuinya. Oleh itu, usaha mencari kebahagiaan itu mestilah bermula dengan mencari apa erti kebahagiaan itu terlebih dahulu.

Apakah erti bahagia? Ada yang beranggapan erti bahagia itu relatif. Ia berubah-ubah dan berbeza antara seorang individu dengan yang lain. Bagi yang sakit, sihat itu dirasakan bahagia. Tetapi apabila sudah sihat, kebahagiaan itu bukan pada kesihatan lagi. Sudah beralih kepada perkara yang lain lagi. Bagi golongan ini kebahagiaan itu adalah satu “moving target” yang tidak spesifik ertinya.

Ada pula golongan pesimis. Mereka beranggapan bahawa tidak ada bahagia di dunia ini. Hidup adalah untuk menderita. Manusia dilahirkan bersama tangisan, hidup bersama tangisan dan akan dihantar ke kubur dengan tangisan. Bahagia adalah satu utopia, ilusi atau angan-angan. Ia tidak ujud dalam realiti dan kenyataan.

• Sumber dalaman atau luaran?
Sebelum mendapat jawapan tentang erti kebahagiaan yang sebenar, mesti dipastikan sumber kebahagiaan itu. Ia datang dari mana? Apakah bahagia itu datang dari luar ke dalam (outside-in) atau dari dalam ke luar (inside-out)?

Ramai yang merasakan bahawa bahagia itu bersumber dari faktor luaran. Ia bersumber daripada harta, kuasa, rupa, nama dan kelulusan yang dimiliki oleh seseorang. Golongan ini merasakan jika berjaya menjadi hartawan, negarawan, bangsawan, rupawan, kenamaan dan cendekiawan maka secara automatik bahagialah mereka.

Atas keyakinan itu ramai yang berhempas pulas dan sanggup melakukan apa sahaja untuk memiliki harta, kuasa dan lain-lain lagi. Kita tidak bahaskan mereka yang miskin, hodoh, tidak popular dan bodoh, lalu gagal merasakan bahagia tetapi mari kita tinjau apakah hidup para hartawan, rupawan, bangsawan, kenamaan dan cendekiawan itu bahagia?


• Realiti hidup jutawan, rupawan dan selebriti.
Realitinya, sudah menjadi “rules of life” (sunatullah), manusia tidak mendapat semua yang diingininya. Tidak ada seorang manusia pun yang dapat mengelakkan diri daripada sesuatu yang tidak disenanginya. Hidup adalah satu ujian yang menimpa semua manusia, tidak kira kedudukan, harta dan pangkatnya. Firman Allah:
“Dijadikan mati dan hidup adalah untuk menguji manusia siapakah yang terbaik amalannya.” Al Mulk.

Si kaya mungkin memiliki harta yang berjuta, tetapi mana mungkin dia mengelakkan diri daripada sakit, tua dan mati? Inilah yang berlaku kepada Cristina Onasis pewaris kekayaan ayahnya Aristotle Onasis, yang mati pada usia yang masih muda walaupun memiliki harta yang berbilion dollar. Mereka yang rupawan, tidak boleh mengelakkan diri daripada cercaan. Madonna, Paris Hilton (sekadar menyebut berapa nama) pernah dikutuk akibat kelakuan buruk masing-masing. Lady Diana yang memiliki semua pakej kelebihan wanita idaman akhirnya mati dalam keadaan yang tragis dan menyedihkan sekali.

John Lenon tidak dapat mengelakkan diri daripada dibunuh walaupun dirinya dipuja oleh jutaan peminat. Elizabeth Taylor pula sedang membilang usia yang kian meragut kecantikan dan potongan badannya. Itu belum dikira lagi nasib malang yang menimpa negarawan dan bangsawan tersohor seperti Al Malik Farouk (Masir), Shah Iran (Iran), Ferdinand Marcos (Filipina), Louis XVI (Perancis), Tsar (Rusia) dan lain-lain lagi. Tegasnya, kesakitan, cercaan, dijatuhkan dan lain-lain ujian hidup telah menumpaskan ramai hartawan, rupawan, negarawan dan cendekiawan dalam perlumbaan mencari kebahagiaan.


• Bukti hilangnya bahagia.
Apa buktinya, mereka hilang bahagia? Tidak payah kita berhujah menggunakan Al Quran dan Al Hadis, melalui paparan media massa sahaja sudah cukup menjadi bukti betapa tidak bahagianya mereka yang memiliki segala-galanya itu. Aneh, apabila selebriti dari Hollywood, yakni mereka yang memiliki rupa yang cantik, harta yang berbilion dolar, nama yang tersohor tetapi dilanda pelbagai masalah kronik. Senarai nama yang berkenaan cukup panjang …

Mereka yang terlibat dengan arak, rumah tangga cerai berai, dadah, jenayah, sakit jiwa dan bunuh diri ini sudah tentu tidak bahagia. Jika mereka bahagia dengan nama, harta dan rupa yang dimiliki tentulah mereka tidak akan terlibat dengan semua kekacauan jiwa dan kecelaruan peribadi itu. Tentu ada sesuatu yang “hilang” di tengah lambakan harta, rupa yang cantik dan nama yang popular itu.

• Ujian hidup punca hilang bahagia?
Mari kita lihat persoalan ini lebih dekat. Apakah benar ujian hidup menghilangkan rasa bahagia dalam kehidupan ini? Apakah sakit, usia tua, cercaan manusia, kemiskinan, kegagalan, kekalahan dan lain-lain ujian hidup menjadi sebab hilangnya bahagia? Jawabnya, tidak!

Jika kita beranggapan bahawa ujian hidup itu penyebab hilangnya bahagia maka kita sudah termasuk dalam golongan pesimis yang beranggapan tidak ada kebahagiaan di dunia. Mengapa begitu? Kerana hakikatnya hidup adalah untuk diuji. Itu adalah peraturan hidup yang tidak boleh dielakkan. Sekiranya benar itu penyebab hilangnya bahagia, maka tidak ada seorang pun manusia yang akan bahagia kerana semua manusia pasti diuji.

Atas dasar itu, ujian hidup bukan penyebab hilangnya bahagia. Sebagai perumpamaannya, jika air limau nipis diletakkan di atas tangan yang biasa, maka kita tidak akan berasa apa-apa. Sebaliknya, jika air limau itu dititiskan di atas tangan yang luka maka pedihnya akan terasa. Jadi apakah yang menyebabkan rasa pedih itu? Air limau itu kah atau tangan yang luka itu? Tentu jawapannya, luka di tangan itu.

• Metafora air limau dan luka di tangan
Air limau itu adalah umpama ujian hidup, manakala tangan yang luka itu ialah hati yang sakit. Hati yang sakit ialah hati yang dipenuhi oleh sifat-sifat mazmumah seperti takbur, hasad dengki, marah, kecewa, putus asa, dendam, takut, cinta dunia, gila puji, tamak dan lain-lain lagi. Ujian hidup yang menimpa diri hakikatnya menimbulkan sahaja sifat mazmumah yang sedia bersarang di dalam hati. Bila diuji dengan cercaan manusia, timbullah rasa kecewa, marah atau dendam. Bila diuji dengan harta, muncullah sifat tamak, gila puji dan takbur.

Justeru, miskin, cercaan manusia dan lain-lain itu bukanlah penyebab hilang bahagia tetapi rasa kecewa, marah dan tidak sabar itulah yang menyebabkannya. Pendek kata, ujian hidup hakikatnya hanya menyerlahkan sahaja realiti hati yang sudah tidak bahagia lama sebelum ia menimpa seseorang.

Dengan segala hujah di atas terbuktilah bahawa pendapat yang mengatakan bahagia itu datang dari luar ke dalam adalah tertolak sama sekali. Ini kerana faktor “kesihatan” hati jelas lebih dominan dalam menentukan bahagia atau tidaknya seseorang berbanding segala faktor luaran. Ini secara tidak langsung menunjukkan bahawa kebahagiaan itu datang dari dalam ke luar – soal hati.

• Inilah erti bahagia
Secara mudah kebahagiaan itu ialah memiliki hati yang tenang dalam menghadapi apa jua ujian dalam kehidupan. Inilah erti bahagia yang sebenar selaras petunjuk Allah di dalam Al Quran. Firman Allah:
“Ketahuilah dengan mengingati Allah, hati akan menjadi tenang.” Al Ra’du 28.

Rasulullah S.A.W. juga telah bersabda:
” Bahawasanya di dalam tubuh badan manusia ada seketul daging. Apabila ia baik, baik pulalah seluruh badan, tetapi apabila ia rosak maka rosak pulalah seluruh badan. Ingatlah ia adalah hati. ” (riwayat Bukhari Muslim)

Rasulullah S.A.W bersabda lagi:
” Bukanlah kekayaan itu dengan banyaknya harta benda tetapi kekayaan itu sebenarnya ialah kaya hati “
Kaya hati bermaksud hati yang tenang, lapang dan merasa cukup dengan apa yang dimiliki – bersyukur dengan apa yang ada, sabar dengan apa yang tiada.

Oleh itu hati perlu dibersihkan serta dipulihara dan dipelihara “kesihatannya” agar lahir sifat-sifat mazmumah seperti amanah, sabar, syukur, qanaah, reda, pemaaf dan sebagainya. Kemuncak kebahagiaan ialah apabila hati seseorang mampu mendorong pemiliknya melakukan kebaikan dan menghindari kejahatan dan larangan yang ditentukan oleh Islam dengan mudah dan secara “auto pilot”.

KAEDAH MENCARI BAHAGIA MENURUT AL QURAN DAN AS SUNAH:

1. Beriman dan beramal salih.
“Siapa yang beramal salih baik laki-laki ataupun perempuan dalam keadaan ia beriman, maka Kami akan memberikan kepadanya kehidupan yang baik dan Kami akan membalas mereka dengan pahala yang lebih baik daripada apa yang mereka amalkan.” (An-Nahl: 97)
Ibnu ‘Abbas RA meriwayatkan bahawa sekelompok ulama mentafsirkan bahawa kehidupan yang baik (dalam ayat ini) ialah rezeki yang halal dan baik (halalan tayyiban). Sayidina Ali pula mentafsirkannya dengan sifat qana’ah (merasa cukup). Ali bin Abi Thalhah dari Ibnu ‘Abbas, meriwayatkan bahawa kehidupan yang baik itu adalah kebahagiaan.

2. Banyak mengingat Allah .
Dengan berzikir kita akan mendapat kelapangan dan ketenangan sekali gus bebas daripada rasa gelisah dan gundah gulana. Firman Allah:
“Ketahuilah dengan mengingat (berzikir) kepada Allah akan tenang hati itu.” (Ar-Ra’d: 28)

3. Bersandar kepada Allah.
Dengan cara ini seorang hamba akan memiliki kekuatan jiwa dan tidak mudah putus asa dan kecewa. Allah berfirman:
“Siapa yang bertawakal kepada Allah maka Allah akan mencukupinya.” (Ath-Thalaq: 3)

4. Sentiasa mencari peluang berbuat baik.
Berbuat baik kepada makhluk dalam bentuk ucapan mahupun perbuatan dengan ikhlas dan mengharapkan pahala daripada Allah akan memberi ketenangan hati.
Firman-Nya:
“Tidak ada kebaikan dalam kebanyakan bisikan-bisikan mereka kecuali bisikan-bisikan dari orang yang menyuruh ( manusia) untuk bersedekah atau berbuat kebaikan dan ketaatan atau memperbaiki hubungan di antara manusia. Barang siapa melakukan hal itu karena mengharapkan keredaan Allah, nescaya kelak Kami akan berikan padanya pahala yang besar.” (An-Nisa: 114)

5. Tidak panjang angan-angan tentang masa depan dan tidak meratapi masa silam.
Fikir tetapi jangan khuatir. Jangan banyak berangan-angan terhadap masa depan yang belum pasti. Ini akan menimbulkan rasa gelisah oleh kesukaran yang belum tentu datang. Juga tidak terus meratapi kegagalan dan kepahitan masa lalu karena apa yang telah berlalu tidak mungkin dapat dikembalikan semula. Rasulullah SAW bersabda: “Bersemangatlah untuk memperoleh apa yang bermanfaat bagi mu dan minta tolonglah kepada Allah dan janganlah lemah. Bila menimpa mu sesuatu (dari perkara yang tidak disukai) janganlah engkau berkata: “Seandainya aku melakukan ini nescaya akan begini dan begitu,” akan tetapi katakanlah: “Allah telah menetapkan dan apa yang Dia inginkan Dia akan lakukan,” karena sesungguhnya kalimat ‘seandainya’ itu membuka amalan syaitan.” (HR. Muslim)

6. Melihat “kelebihan” bukan kekurangan diri.
Lihatlah orang yang di bawah dari segi kehidupan dunia, misalnya dalam kurniaan rezeki karena dengan begitu kita tidak akan meremehkan nikmat Allah yang diberikan Allah kepada kita. Rasulullah SAW bersabda:
“Lihatlah orang yang di bawah kamu dan jangan melihat orang yang di atas kamu karena dengan (melihat ke bawah) lebih pantas untuk kamu tidak meremehkan nikmat Allah yang dilimpahkan-Nya kepada kamu.” (HR. Al-Bukhari dan Muslim)

7. Jangan mengharapkan ucapan terima kasih manusia.
Ketika melakukan sesuatu kebaikan, jangan mengharapkan ucapan terima kasih ataupun balasan manusia. Berharaplah hanya kepada Allah. Kata bijak pandai, jangan mengharapkan ucapan terima kasih kerana umumnya manusia tidak pandai berterima kasih. Malah ada di antara hukama berkata, “sekiranya kita mengharapkan ucapan terima kasih daripada manusia nescaya kita akan menjadi orang yang sakit jiwa!”. Firman Allah:
“Kami memberi makan kepada kalian hanyalah karena mengharap wajah Allah, kami tidak menginginkan dari kalian balasan dan tidak pula ucapan terima kasih.” (Al Insan: 9)

ZIKRULLAH YANG MEMBAWA BAHAGIA

Ketenangan itu dicapai melalui zikrullah. Zikrullah akan memberi ketenangan buat hati. Ketenangan hati itulah kebahagiaan sebenar. Tetapi kenapa ada orang yang berzikir tetapi hati tidak ataupun belum tenang? (Untuk mendapat jawapannya, tolong rujuk kembali entri dalam blog ini dalam tajuk: Mencari Ketenangan Hati)

Hati adalah sumber dari segala-galanya dalam hidup kita, agar kehidupan kita baik dan benar, maka kita perlu menjaga kebersihan hati kita. Jangan sampai hati kita kotori dengan hal-hal yang dapat merosak kehidupan kita apalagi sampai merosak kebahagiaan hidup kita di dunia ini dan di akhirat nanti.

Ingatlah, untuk menjaga kebersihan hati, (selalin berzikir) kita perlu menjaga penglihatan, pendengaran, fikiran, ucapan kita dari hal-hal yang dilarang oleh Allah SWT. Dengan menjaga hal-hal tersebut kita dapat menjaga kebersihan hati kita. Dengan hati yang bersih kita gapai kebahagiaan dunia dan akhirat.  Jadi berhati-hatilah menjaga hati kerana ia adalah punca ketenangan dan kebahagiaan diri!

Kita harus melatih hati kita supaya sentiasa berniat baik dan inginkan sesuatu yang baik. Sentiasa riang, gembira dan tenang dengan setiap pekerjaan yang dilakukan. Sentiasa melakukan kerja amal, tolong menolong, bergotong royong, sentiasa bercakap benar, sopan dan hidup dengan berkasih sayang antara satu dengan lain.

Marilah kita bersihkan hati kita dari segala kotorannya dengan memperbanyak mendekatkan diri kepada Allah SWT dan memperbanyak doa agar Allah SWT mengurniakan kita hati yang bersih dan selalu dekat dengan-Nya. Itulah beberapa hal yang mungkin dapat kita jadikan landasan untuk mencari kebahagiaan hidup di dunia ini dan juga sebagai bekal untuk menghadapi kehidupan akhirat nanti.

Sebenarnya kebahagiaan hidup yang hakiki dan ketenangan hanya didapatkan dalam agama Islam yang mulia ini. Sehingga yang dapat hidup bahagia dalam erti yang sebenarnya hanyalah orang-orang yang berpegang teguh dengan agama.






9 Ciri-Ciri Wanita Idaman Lelaki




Wahai wanita, sesungguhnya kejadianmu terlalu unik,tercipta dari tulang rusuk. Adam yang bengkok menghiasi taman-taman indah lantas menjadi perhatian sang kumbang, kau umpama sekuntum bunga, harum aromamu menarik sang kumbang untuk mendekatimu. Namun, bukan semua bunga mampu menarik kumbang jika terdapat cacat cela. Antara ciri wanita idaman lelaki adalah :

1. Berpegang Kepada Agama

Wanita yang berpegang kepada agama mempunyai keperibadian yang unggul. Batas-batas syariat yang dipegang dan terpelihara dalam hidupnya mengangkat martabat dirinya sebagai seorang yang layak dikagumi oleh lelaki. Dia tidak akan melakukan sesuatu yang bertentangan dengan syariah Islam. Memang beruntung mana-mana lelaki yang beristeri dengan wanita sebegini.



2. Kecantikan Dalaman

Wanita yang tulen adalah lemah lembut dalam perwatakannya tetapi mempunyai prinsip dalam hidup. Inilah kecantikan dalaman yang dicari oleh ramai lelaki. Kalau cantik, tu dikira sebagai BONUS.

Wanita yang mempunyai kecantikan dalaman tidak akan sesekali menjual maruah dirinya hanya untuk mencari nama dan wang. Mereka tidak akan sesekali tunduk pada nafsu atau berbuat sesuatu semata-mata kerana mahukan harta dan kekayaan.



3. Manja

Lelaki suka wanita yang keanak-anakan atau yang ada sifat manja, supaya lelaki boleh memainkan peranan sebagai pelindung. Namun begitu, sifat manja dan keanak-anakan yang melampau tidak sesuai kerana ia akan menampakkan wanita itu seperti kurang matang.



4. Pandai Menjaga Kecantikan

Lelaki menginginkan wanita yang pandai menjaga kecantikan dirinya. Wanita dan kecantikan memang susah nak dipisahkan. Mereka akan kelihatan bertambah cantik jika bijak menguruskan penampilan diri. Lelaki secara fitrahnya memang mahukan wanita yang pandai menjaga kecantikan, kerana ia akan membuat mereka bangga.



5. Berakhlak Mulia

Wanita yang berakhlak mulia dikenali juga sebagai wanita solehah. Wanita adalah hiasan dunia, tetapi seindah hiasan adalah wanita solehah. Merekalah ibu, isteri, kekasih dan merupakan tunjang kejayaan suami.



6. Tidak Mempamer Keseksian

Lelaki suka menjamu mata dengan melihat aurat wanita, namun tidak suka menjadikanya isteri kerana keindahan diri wanita tu seolah-olah menjadi barang pameran untuk mata semua lelaki.



7. Tidak Cerewet

Lelaki suka pada wanita yang tidak cerewet. Mengapa pula? Sebab wanita yang cerewet boleh merimaskan dan mudah menyebabkan lelaki merasa jemu dengannya. Biasanya, wanita yang cerewet suka mengkritik apa saja yang tidak disenanginya walaupun perkara itu hanyalah perkara kecil.



8. Memahami Lelaki

Wanita yang memahami hati lelaki biasanya mempunyai intuisi yang cukup kuat. Lelaki mengimpikan wanita yang mampu memahami situasinya dalam keadaan suka dan duka. Pendek kata, tanpa perlu bersuara, dia itu sudah dapat membaca riak wajah suaminya. Lantas, bertindak menghiburkan atau memberi kekuatan.



9. Sejuk Mata Memandang

Wanita yang manis wajahnya dan sejuk dipandang mata akan mendamaikan perasaan seorang lelaki. Ciri-ciri Wanita Sejuk Mata Memandang seperti di bawa ini:

.:: – Bersopan satun

.:: – Senantiasa memaniskan wajah

.:: – Senantiasa memberikan senyuman ikhlas

.:: – Menutup aurat

.:: – Ramah dan mesra

.:: – Tidak terlalu cemburu

.:: – Menghormati orang lain



.

Inilah 9 ciri-ciri wanita yang menjadi idaman lelaki.

Jadikan tips yang terakhir ini sebagai rutin harian dalam hidup. Sebelum tidur, cuba menilai atau memuhasabah diri kita kembali. Cuba lihat di mana kelebihan dan kekurangan diri kita serta apa yang telah kita capai pada hari ini. Andai kita mampu mengatasi kelemahan diri sendiri, teruskan memperbaikinya dengan secara beransuran dan fahami bahawa kelemahan itu wujud supaya kita tahu apa kekuatan diri kita. Sepertimana Dr Fadhillah Kamsah mendidik jiwa kita agar senantiasa mengamalkan sifat saling memaafi antara satu sama lain pada setiap malam sebelum melelapkan mata dan menikmati alam keindahan bermimpi.

Lantas, gunakan kelebihan dan kekuatan yang ada untuk mencipta kecemerlangan dalam diri untuk kebaikan bersama. Ingatlah bahawa setiap keindahan dan kesempurnaan itu hanya milik sang penakluk jiwa para hamba-hamba-NYA, yakni sang KHALIQ yang Maha Pencipta. Manakala pada kecacatan, keburukan dan kelemahan adalah ciptaan manusia itu sendiri




Thursday 23 August 2012

21 Perkara Yang Membuat Lelaki Menyenangi Wanita




Setiap wanita di dunia ini pasti inginkan hubungan mereka berkekalan sehingga ke jinjang pelamin dan sehingga akhir hayat dan tidak sesiapa pun yang mahu hubungan sekerat jalan kerana ia hanya membawa kepada kesedihan dan hati yang hancur sahaja.
Tetapi sebenarnya wanita juga perlu mengetahui apakah perkara yang disenangi oleh kaum lelaki supaya kaum lelaki ini memahami pasangannya dan seterusnya menjadikan hubungan itu lebih intim dan tiada salah faham antara satu sama lain.

1. Terima Lelaki agar Dia Menerima Anda

Mungkin tiada perkataan yang lebih sesuai untuk menyatakan ini selain dari “Terimalah lelaki sebagai sediakala”. Terima dia sebagai lelaki. Yang penting untuk anda mengetahui ialah mengenai lelaki, bukan mengubah lelaki.
Jika anda mahu mengubah personaliti lelaki yang menjadi kekasih anda atau suami anda, dia mungkin akan menjadi insan yang lain, yang mungkin tidak anda sukai, dan tidak menyukai anda.

2. Fahamilah Lelaki Agar Dia Memahami Anda

Cuba memahami perangai sedia ada pada seorang lelaki dan menyesuaikan perangai itu dengan diri anda, adalah lebih baik dari cuba mengubahnya dan beranggapan bahawa ianya tidak sesuai dengan anda. Asalkan perangai itu tidak bertentangan dengan kehendak agama dan kesopanan budaya. Dengan cara itu lelaki akan cuba memahami anda dan menyesuaikan dirinya dengan diri anda.

3. Berubah Untuk Menikmati Perubahan

Sekiranya anda mahu mengubah perangai lelaki, malah perangai sesiapa pun, anda tidak akan mampu berbuat demikian. Kerana insan itu sendirilah yang akan mengubah perangainya jika dia mahu.
Anda cuma boleh memujuk dan mempengaruhinya agar berpihak kepada anda. Anda sendiri perlulah sanggup berubah kepada perangai yang lebih baik untuk membolehkan seseorang lelaki berubah memperbaiki dirinya.

4. Sanggup Memberi Untuk Menerima

Di atas segala-galanya, apa yang penting untuk anda lakukan ialah sanggup memberi lebih banyak dari yang anda sanggup terima dari seorang lelaki. Dengan itu, anda mungkin akan menerima lebih banyak dari yang sanggup anda beri.

5. Percaya Untuk Dipercayai

Sekiranya anda tidak mempercayai lelaki, janganlah anda harapkan lelaki itu percaya kepada anda. Hidup ini meminta pada yang ada, merajuk pada yang sayang.
Untuk membuat orang lain percaya kepada anda bukanlah perkara mudah, bagi menyebabkan orang lain tidak percaya pada anda bukanlah payah. Apabila dia sudah tidak percayakan anda, amat sukar pula untuk dia mengubah pendiriannya.

6. Menangkan Lelaki Untuk Menang

Mengenal lelaki bukanlah untuk mengalahkan lelaki, kerana dalam kehidupan suami isteri. Sepatutnya sama-sama menang dalam semua aspek kehidupan. Dalam satu perkahwinan ada dua kuasa, pertama kuasa suami, kedua kuasa isteri.
Kuasa suami adalah memulakan dan meyuarakan. Kuasa isteri adalah sama ada bersetuju atau tidak. Sekiranya kedua-duanya menyalahgunakan kuasa, maka rumahtangga akan menjadi porak-peranda. Dari itu rujuklah kepada agama untuk menghalusi apakah yang boleh dilakukan dan apakah yang dilarang.

7. Sifat Negatif Membuahkan Kesan Negatif

Ramai wanita yang mencabar dan celupar terhadap suaminya. Ramai juga yang bersifat pendesak, terlalu banyak meminta, merendah-rendahkan suaminya, membandingkan suaminya dengan lelaki lain, dan memaki hamun suaminya.
Sekiranya anda bersifat sedemikian, walaubagaimana kenalpun anda kepada suami anda, anda bukanlah seorang wanita yang bijak. Andalah yang mungkin menjadi sebab mengapa suami anda merasa tertekan, tidak selesa, banyak berdiam diri, selalu masam muka dan sebagainya lagi yang tidak menyenangkan diri anda. Andalah yang patut berubah.

8. Bertanggungjawab Akan Menikmati Kesan Tanggungjawab

Sebenarnya tanggungjawab wanita terhadap suaminya tidak akan berubah walaupun dunia ini menjadi semakin maju. Begitulah juga tanggungjawab suami kepada isterinya.
Selagi anda menjalankan tanggungjawab anda dengan sempurna sebagaimana yang digariskan olah agama, anda tidak perlu risau apa pun. Allah akan menempatkan anda dipihak yang benar, dan anda tidak akan rugi apa-apa.

9. Kritikan Akan Membuahkan Kritikan

Kritikan merbahaya kerana ia menjadikan lelaki itu defensif dan sedaya upaya ingin mempertahankan dirinya. Ia bahaya kerana melukakan nilai diri lelaki boleh menjejaskan rasa kepentingan dirinya dan menyebabkan dia rasa kecewa kepada anda dan mungkin akan mengkritik anda pula.

10. Beri Lelaki Apa Yang Dia Mahu

Dia akan melakukan apa sahaja untuk anda dan memberi apa yang anda mahu. Ada dua perkara besar yang dimahukan oleh manusia iaitu kehendak seks (bagi yang dah berkahwin) dan kehendak untuk menjadi penting.
Setiap orang dewasa mahukan kesihatan, makan, tidur, wang, kepuasan seks, anak-anak yang terjaga, rasa dipentingkan dan hidup yang bahagia dunia akhirat. Berilah lelaki apa yang dia mahu dan apa yang boleh anda berikan.

11. Tunjukkan Minat Tulen Terhadap Lelaki

Dia akan menunjukkan minat terhadap anda. Dengar apa yang ingin dikatakannya, walaupun ianya tentang dirinya sendiri atau mengenai kerjanya, ataupun kesukaannya. Lebih berminat anda padanya, maka lebih berminatlah dia kepada anda.

12. Senyuman Itu Tanda Kasih Yang Tidak Perlu Dibayar

Anda tidak perlu membayar apa-apa untuk senyum pada lelaki yang anda kasihi. Dia akan senyum kembali pada anda. Betapa nikmatnya senyuman yang dilemparkan kepada anda itu, begitu jugalah nikmat yang dirasanya apabila anda senyum padanya. Senyuman menyebabkan lelaki suka pada anda.

13. Panggilah Lelaki Dengan Panggilan Manja

Sebagaimana anda mahukan lelaki memanggil anda dengan nama yang baik dan nada yang lembut, begitulah pula lelaki. Dia mahukan anda memanggilnya dengan lembut, merdu dan manja, sesuai dengan sifat anda sebagai wanita.

14. Hormati Dia Sebagai Lelaki

Dia akan menghormati anda sebagai wanita. Jika anda berusaha untuk memahami sikapnya dan bertolak-ansur dengannya, dia juga akan melakukan perkara yang sama terhadap anda.
Wanita patut menghormati lelaki yang menjadi suaminya, dan memberi penghormatan tidak akan merendahkan kehormatan diri sendiri, malah menjadikan diri lebih terhormat.

15. Dengarlah Dengan Baik

Antara masalah besar dalam rumahtangga ialah apabila masing-masing suami isteri tidak mahu berbincang secara terbuka. Dengarlah dengan baik apa yang diperkatakan oleh lelaki, nescaya dia akan mendengar pula apa yang ingin anda katakan.

16. Bercakaplah Tentang Apa Yang Disukai Lelaki

Lelaki tidak suka mendengar celoteh wanita, mengenai hal-hal remeh-temeh yang biasanya diceritakan oleh wanita kepada wanita. Lebih baik bercakap perkara yang menjadi kesukaannya dan berkaitan dengan minat anda untuk membantu kerjayanya atau membantu mempertingkatkan ekonomi rumahtangga.

17. Katakanlah Bahawa Dia Penting Dalam Hidup Anda

Dia akan menganggap anda penting dalam hidupnya. Antara kesilapan wanita ialah suka merendah-rendahkan suaminya, atau menganggap bahawa sekiranya perceraian berlaku, ramai lelaki yang lebih baik seikapnya dan sifatnya yang sanggup menjadi suami. Mungkin begitu jugalah suami anda berfikir mengenai anda.

18. Jangan Katakan Penyesalan Mengahwininya

Apabila anda menyatakan penyesalan mengahwini suami, suami anda akan menyesal mengahwini anda, walaupun dia tidak menyatakannya. Menyatakan penyesalan berkahwin menunjukkan pendeknya akal anda dan lemahnya anda dalam menghadapi dugaan hidup. Sepatutnya anda berusaha untuk merasa gembira mengahwini suami anda.

19. Elakkan Pergaduhan

Ada wanita yang menunggu-nunggu saat suaminya menegurnya atau menasihatkannya, kerana dia sudah sedia dengan peluru-peluru tohmah dan kejian serta airmatanya. Untuk mengelakkan kejadian yang tidak diingini berkaitan rumahtangga, elakkan pergaduhan, dan janganlah anda pula yang memulakannya.

20. Jangan Menyalahkan, Minta Maaf Bila Bersalah

Sekiranya anda sukar meminta maaf atas kesalahan anda, dan sebaliknya amat suka mencari kesalahan lelaki, dia akan menganggap bahawa anda adalah seorang yang keras kepala dan keras hati, sukar dibentuk.
Lebih buruk lagi dia mungkin merasa bahawa dia telah gagal membentuk diri anda sebagai isterinya, dan mungkin bersebab dari itu, dia cuba mencari jalan keluar.

21. Hidup Bukan Hanya Di Dunia

Banyak masalah timbul kerana manusia biasanya bertindak dengan akal yang sempit dan tindakannya berbentuk keduniaan.Kejayaan anda di akhirat adalah bergantung kepada betapa baiknya anda kepada suami anda dan betapa bereskah tanggungjawab anda terhadapnya.
Jadi kepada kaum wanita, jadilah wanita yang disenangi oleh pasangan anda
sumber:http://penpatah.blogspot.com




Sunday 5 August 2012

Ciri-ciri Wanita Ahli Syurga




Assalamualaikum wbt..

Antara ciri-ciri yang menjelaskan wanita boleh mendiami syurga ialah:-

1. Bertakwa.

2. Beriman kepada Allah, Malaikat-Malaikat-Nya, Kitab-Kitab-Nya, Rasul-Rasul-Nya, Hari Kiamat, dan beriman kepada takdir yang baik mahupun yang buruk.

3. Bersaksi bahawa tiada tuhan lain yang berhak disembah kecuali Allah, bersaksi bahawa Muhammad adalah hamba dan Rasul-Nya, mendirikan solat, menunaikan zakat, berpuasa di bulan Ramadhan, dan pergi haji bagi yang mampu.

4. Ihsan, iaitu beribadah kepada Allah seakan-akan melihat Allah, jika dia tidak dapat melihat Allah, dia mengetahui bahwa Allah melihat dirinya.

5. Ikhlas beribadah semata-mata kepada Allah, tawakkal kepada Allah, mencintai Allah dan Rasul-Nya, takut terhadap adzab Allah, mengharap rahmat Allah, bertaubat kepada-Nya, dan bersabar atas segala takdir-takdir Allah serta mensyukuri segala kenikmatan yang diberikan kepadanya.

6. Gemar membaca Al Qur’an dan berusaha memahaminya, berzikir mengingat Allah ketika sendiri atau bersama banyak orang dan berdoa kepada Allah semata.

7. Menghidupkan amar ma’ruf dan nahi mungkar pada keluarga dan masyarakat.

8. Berbuat baik (ihsan) kepada tetangga, anak yatim, fakir miskin, dan seluruh makhluk, serta berbuat baik terhadap haiwan ternak yang dia miliki.

9. Menyambung tali persaudaraan terhadap orang yang memutuskannya, memberi kepada orang, menahan pemberian kepada dirinya, dan memaafkan orang yang mendhaliminya.

10. Berinfak, baik ketika lapang maupun dalam keadaan sempit, menahan amarah dan memaafkan manusia.

11. Adil dalam segala perkara dan bersikap adil terhadap seluruh makhluk.

12. Menjaga lisannya dari perkataan dusta, saksi palsu dan menceritakan kejelekkan orang lain (ghibah).

13. Menepati janji dan amanah yang diberikan kepadanya.

14. Berbakti kepada kedua orang tua.

15. Menyambung silaturahim dengan karib kerabatnya, sahabat terdekat dan terjauh.

“.. Dan barangsiapa taat kepada Allah dan Rasul-Nya, nescaya Allah memasukkannya ke dalam Syurga yang mengalir di dalamnya sungai-sungai sedang mereka kekal di dalamnya dan itulah kemenangan yang besar.” (QS. An Nisa’ : 13)










sumber:SINI

Friday 3 August 2012

.::Sejarah Jatuh Bangun Tokey Kurma, Yusof Taiyoob::.







Anda pasti pernah dengar produk kurma berjenama Yusuf Taiyoob bukan? Ingin tahu sejarah kehidupan pemilik produk ini sehingga beliau mampu bergelar datuk? Usahawan Melayu Islam yang sangat sinonim dengan produk kurma nya ini bernama Datuk Yusuf Taiyoob, 47, yang memiliki empayar perniagaan sendiri bernama Yusuf Taiyoob Sdn Bhd.


Yusuf Taiyoob Sdn Bhd


Kesungguhan beliau untuk berjaya dalam bidang perniagaan sememangnya tidak dapat dinafikan. Zaman remaja beliau sudah bermandikan cabaran demi cabaran dalam dunia perniagaan.


Bermula dengan penjualan minyak wangi di Lapangan Terbang Bayan Lepas, yang diadun sendiri oleh beliau ketika berumur 19 tahun, penerimaan pada peringkat awal adalah sangat memberangsangkan. Sehinggalah pada satu ketika, beliau jatuh sakit (muntah darah akibat pendarahan dalaman yang serius) akibat tekanan yang dihadapi dek kerana penjualan yang merudum teruk.





Memang tidak dapat dinafikan, dugaan yang beliau hadapi, memberi kesan terhadap usahanya menjadi seorang usahawan berjaya. Namun, beliau nekad untuk menukar bentuk perniagaan yang lain dengan mengimport makanan termasuk kurma secara kecil-kecilan.


Lama-kelamaan, usahanya berhasil apabila perniagaannya berkembang maju dan produk keluarannya semakin popular termasuk di Singapura, Indonesia dan Thailand. Kini, beliau sudah pun memiliki lebih 1,000 pengedar di negara ini tidak termasuk di luar negara dan hampir 50 kakitangan di pejabatnya. Bilangan pekerja itu tidak termasuk pekerja di tiga gudang di Pulau Pinang dan Kuala Lumpur.


Begitulah serba ringkas kisah seorang usahawan tempatan, Datuk Yusuf Taiyoob. Bukan senang nak senang. Tiada jalan pintas untuk kecapi kebahagiaan. Bermacam-macam dugaan yang TUHAN berikan. Namun, berkat, usaha dan keyakinan terhadap kekuasaan ALLAH s.w.t, beliau mampu membuka fenomena baru dalam perusahaan kurma di negara kita.


Semoga kisah Datuk Yusuf Taiyoob ini dapat memberikan anda semangat untuk sentiasa sukses dalam kehidupan anda. Saya juga masih lagi mencari-cari jalan ke arah kebahagiaan dan kesenangan hidup di dunia mahupun di akhirat.


Siapa tak kenal, kurma yang paling popular di Malaysia.. berjenama Yusuf Taiyoob, iaitu bersempena dengan nama big big boss nya sendiri iaitu Datuk Yusuf Taiyoob. Hari-hari asyik dengar iklan Yusuf Taiyoob di radio dan TV.. Kalau akhbar tu xpayah cakap la.. siap full page lagi tu..


Yang menarik, kompleks kilangnya terletak di lokasi strategik iaitu bersebelahan Lebuh Raya Utara Selatan, sekali gus ribuan pemandu tidak akan terlepas pandang melihat bangunan berwarna coklat cair itu dengan nama Yusuf Taiyoob terpampang besar di satu sudut.


Nama Yusuf Taiyoob memang tidak asing lagi di negara ini kerana sering dikaitkan dengan kurma, apatah lagi jika disebut nama seperti Safia, Wasem, Safina, Amina, Ajmal, Ajwa dan Kurma Madu Yuta.


Oleh itu tidak keterlaluan beliau layak digelar ‘Raja Kurma Malaysia’, malah anak sulung daripada empat beradik itu turut mengakui Yang Dipertua Negeri Pulau Pinang, Tun Abdul Rahman Abbas, pernah memanggilnya dengan gelaran ‘Datuk Kurma’. -2dayblogger

sumber:SINI


Thursday 2 August 2012

Puasa dan hubungan antara agama

Sekarang saya berada dalam bulan terakhir di United Kingdom (UK) ini. Tempoh zamilah saya akan berakhir dalam bulan Ogos ini. Saya merancang untuk pulang pada awal Ogos. 

Jadi Insya-Allah, saya akan sempat menjalani separuh Ramadan sini. Ini merupakan pengalaman pertama saya berpuasa Ramadan di UK. 

Waktu berpuasa dalam musim panas ini agak panjang. Subuh bermula pada jam 3 pagi dan Maghrib pula pada jam 9.15 malam. Hanya enam jam ruang yang ada. Waktu malam begitu pendek. Jika dicampur segala aktiviti: iftar, solat Maghrib, Isyak, tarawih dan sahur tentu amat sedikit ruangannya. 

Ditambah lagi dengan masa untuk membaca al-Quran dan ibadah yang lain, maka tentu lebih sempit ruangan masanya. Namun masa itu bersifat relatif. Jika Allah memberkati, waktu yang pendek mempunyai ruang yang luas dan amat bermanfaat. 

Jika Dia tidak memberkati, waktu yang banyak menjadi sempit dan terbatas. Maka, ada manusia yang panjang umur, tiada hasil yang dapat dimanfaatkan oleh orang lain. Ada yang pendek umurnya, tetapi mempunyai hasil kerja yang bermanfaat yang banyak.

Pada zahirnya tentulah di Malaysia lebih beruntung kerana ruang ibadah malam itu lebih banyak. Kita mempunyai lebih sepuluh jam waktu malam. Pun begitu, tidaklah semuanya dapat dimanfaatkan dengan baik oleh setiap orang. 

Bahkan mungkin ada yang waktu yang disia-siakan. Ini mengingatkan kita kepada hadis Nabi SAW: 

"Dua nikmat yang ramai orang terpedaya; kesihatan dan waktu lapang." (Riwayat al-Bukhari).
Amalan bersejarah
Ramadan menjelang, kita berpuasa. Puasa bukanlah ibadah baru yang bermula sejak kedatangan Nabi Muhammad SAW. Puasa telah wujud sejak zaman berzaman lagi sebelum Nabi Muhammad SAW dibangkitkan sebagai rasul. 

Justeru itu Allah menyebut (maksudnya): "Wahai mereka yang beriman! Diwajibkan ke atas kamu puasa sebagaimana diwajibkan atas orang-orang yang dahulu daripada kamu, mudah-mudahan kamu bertakwa". (Surah al-Baqarah 183). 

Ayat ini mengingatkan kita bahawa ibadah ini bukan ibadah baru. Ia satu ibadah yang telah diamalkan dalam syariat nabi-nabi sebelum kita. Mereka sebelum kita telah berpuasa bagi mematuhi arahan Allah. 

Ini memberikan kita kesedaran, betapa adanya hubung kait antara agama-agama yang dianuti oleh manusia. Islam mengiktiraf itu semua. 

Jika Allah mahu, boleh sahaja Allah hanya menyebut "diwajibkan kepada kamu puasa", tanpa disebut "seperti mana diwajibkan kepada mereka yang sebelum kamu". 

Namun dengan hikmah yang besar Allah mengingatkan hubungan ini bagi mengingatkan kita sejarah agama. Maka jangan hairan jika kita dapati beberapa persamaan dalam amalan agama antara Yahudi, Kristian dan Islam. 

Hanya orang yang tidak memahami al-Quran, sunah dan sejarah agama sahaja yang menafikan kewujudan persamaan. Mereka inilah yang cuba menjadi isu-isu seperti berkongsi panggilan Allah, panggilan nabi dan nama-nama tertentu sebagai isu permusuhan dalam agama. Mereka lupa sejarah yang disebutkan oleh al-Quran di atas.
Persamaan
Al-Quran dan sunah menjadikan isu persamaan ini sebagai penggerak yang membolehkan dakwah Islam sampai ataupun lebih mudah difahami oleh mereka yang beragama Yahudi dan Kristian. 

Maka, layanan untuk mereka lebih istimewa dalam Islam. Dalam surah al-Maidah ayat 5, Allah menghalalkan Muslim memakan sembelihan mereka dan berkahwin dengan wanita mereka. 

Walaupun ada mazhab yang menyempitkan tafsiran bahawa itu merujuk kepada Ahli Kitab keturunan tertentu sahaja, namun majoriti ulama berpendapat ia merangkumi semua Yahudi dan Kristian. 

Sudah pasti di sana ada ikatan dan syarat tertentu. Apapun, tujuannya untuk mendekatkan mereka dengan dakwah Islam yang mempunyai kesinambungan dari ajaran para nabi sebelum ini. 

Disebabkan kelemahan sikap sesetengah umat Islam, nampaknya orang Kristian lebih menggunakan persamaan ini untuk berkempen dakwah mereka dibandingkan orang Muslim.

Lebih teruk lagi, ada orang Muslim yang menggunakan isu persamaan ini untuk menghidupkan suasana tegang dan modal politik. Sepatutnya seperti mana al-Quran dan sunah mengajar Muslim, isu persamaan digunakan untuk membawa dan menyampaikan mesej Islam kepada mereka. 

Nabi Muhammad SAW bersabda: "Para nabi itu saudara dari keluarga yang berbeza. Ibu mereka ramai namun agama mereka satu." (Riwayat al-Bukhari dan Muslim).
Dalam hadis al-Bukhari, apabila Nabi SAW berada di Madinah, baginda mendapati orang Yahudi berpuasa pada hari Asyura (hari ke sepuluh Muharram). Baginda bertanya kenapa mereka berpuasa. 

Mereka menyatakan kerana sejarah perjuangan Nabi Musa AS. Mendengar alasan tersebut, Nabi Muhammad s.a.w bersabda: "Daku ini lebih berhak untuk menghormati Musa dibandingkan mereka" lalu baginda berpuasa dan mengajak umat Islam berpuasa.
Ruang
Pendekatan al-Quran dan sunah adalah mengambil ruang persamaan untuk membawa dan memahamkan penganut agama lain tentang peranan Islam sebagai agama yang terakhir. Mengingatkan bahawa semua nabi itu atas ajaran Allah yang satu. 

Mereka hakikat membawa akidah Islam yang sama, walaupun syariat ataupun peraturan hukum antara mereka ada beberapa perbezaan. Namun banyak juga yang sama. Kesan-kesan persamaan itu terus diwarisi dan tidak boleh dinafikan. 

Bahkan ada masanya al-Quran memuji agama Kristian dan sikap sesetengah rahib mereka. 

Firman Allah (maksudnya): "...demi sesungguhnya engkau akan dapati orang-orang yang paling dekat sekali kasih mesranya kepada orang-orang yang beriman ialah orang-orang yang berkata: 'Bahawa kami ini orang-orang Nasrani'. Yang demikian itu, disebabkan antara mereka pendita-pendita dan ahli-ahli ibadat, dan kerana mereka pula tidak sombong." (Surah al-Maidah: 82).
Islam mengajak kita mengambil ruang untuk meredakan ketegangan dan memudahkan perbincangan. 

Sementara sesetengah pihak sama ada Kristian ataupun Muslim, cuba menjadikan persamaan yang ada sebagai titik permusuhan dan ketegangan. Kita patut kembali kepada pendekatan al-Quran dan sunah.

SUMBER:PROF MADYA DATUK DR MOHD ASRI ZAINUL ABIDIN bekas mufti Perlis dan kini zamil di Universiti Oxford.